[postlink]http://sejuk-damai.blogspot.com/p/isu-isu.html[/postlink]

Alam Sekitar Hak Bersama

Kita semua ingin hidup dalam alam sekeliling yang sihat dan bersih. Udara segar. Langit biru. Pokok-pokok dan tanaman yang menghijau. Pantai yang bersih. Semuanya dapat menjadi kenyataan jika semua pihak berganding bahu menjaga kebersihan alam sekitar.
Salah satu hak pengguna ialah hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat dan selamat. Hak mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat bererti hak kepada alam sekitar fizikal yang akan memperbaiki atau meningkatkan mutu kehidupan. Hak ini melibatkan usaha mendapatkan perlindungan daripada masalah persekitaran yang di luar kawalan pengguna secara individu, tetapi boleh dibendung jika pengguna bertindak secara kolektif. Ia memaparkan keperluan memelihara dan melindungi alam sekitar untuk generasi masa kini dan masa hadapan sangat bergantung kepada muafakat di kalangan ahli-ahli masyarakat sepertimana perlu bagi menangani pelbagai masalah pengguna yang lain.
Kecuaian terhadap alam sekitar pada abad lalu telah mengakibatkan masalah seperti kepanasan dunia, penghakisan lapisan ozon, kehilangan kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan, penyalahgunaan bahan kimia, pemusnahan hutan kesemuanya mengancam kesejahteraan dan keselamatan umat manusia. Semua penduduk sama ada di negara maju mahupun di negara membangun, sama ada yang tinggal di bandar mahupun di desa,kini terdedah kepada ancaman tersebut.
Kesemua ancaman itu bukanlah berlaku secara semulajadi ataupun kerana takdir. Tetapi sebaliknya ancaman itu adalah ekoran daripada perbuatan manusia sendiri. Pembangunan yang tidak mampan, penggunaan dan citarasa yang berlebihan telah menjejaskan kepentingan alam sekitar terutama pada kurun ini di mana terlalu besar ancaman telah dilakukan. Kita telah menggunakan sumber semulajadi secara membazir dan kurang berhemah.
Untuk mengatasi ancaman terhadap alam sekitar, semua pihak perlu membabitkan diri secara kolektif. Kerajaan, industri dan rakyat Malaysia mempunyai peranan masing-masing untuk mengatasi beberapa ancaman terhadap alam sekitar yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kita semua dan juga kesejahteraan hidup generasi akan datang.
Kerajaan
Kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah untuk memelihara keharmonian alam sekitar seperti :-
  1. Menggubal dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengawal, mencegah dan menghapus pencemaran alam sekitar;
  2. Menerapkan unsur-unsur alam sekitar dalam kurikulum sekolah;
  3. Di peringkat antarabangsa seperti penajaan Pengisytiharan Langkawi semasa Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada Oktober 1989 dan telah menerima 'Montreal Protocol' untuk mengurangkan penggunaan 'non-essential' klorofluorokarbon (CFC).
  4. Menjadi ahli kepada Konvensyen-konvensyen. Antara lainnya adalah:
  • Konvensyen Kepelbagaian Biologi bagi memelihara dan melindungi komponen kepelbagaian biologi;
  • PROTOCOL MONTREAL bagi mengurangkan penggunaan dan pelepasan klorofluorokarbon ke dalam atmosfera yang akan mengakibatkan penipisan lapisan ozon;
·    Konvensyen Rangkakerja Perubahan Iklim yang mengawal pelepasan gas-gas rumah kaca yang mengakibatkan kepanasan alam;
·    Konvensyen Mengenai Tanah Lembab Yang Berkepentingan Antarabangsa yang bertujuan untuk pemeliharaan dan penggunaannya;
·    Konvensyen Basel mengenai pergerakan merentas sempadan dan pelupusan bahan buangan merbahaya yang bertujuan mengawal pergerakan bahan buangan bahaya dan toksik dari satu negara ke satu negara yang lain.
  1. Malaysia telah melancarkan "Inisiatif Penghijauan Dunia" pada 27 April 1992 di Persidangan Ketua-ketua Menteri Negara Membangun Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan di Kuala Lumpur. Dokumen ini merangkumi program bertindak untuk pemeliharaan alam sekitar.
Undang-undang
Kerajaan Malaysia telah menggubal undang-undang berikut untuk melindungi alam sekitar dan menangani masalah pencemaran alam sekitar.
·         Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974
·         Akta Racun Makhluk Perosak, 1974
·         Akta Kilang dan Jentera, 1967
·         Akta Kerajaan Tempatan, 1976
·         Akta Pemuliharaan Tanah, 1960
·         Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974
·         Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976
·         Akta Taman Negara, 1980
·         Akta Perikanan, 1985
·         Akta Perlombongan Petroleum, 1966
  • Akta Kemajuan Petroleum, 1974
·         Akta Perlindungan Hidupan Liar
·         Akta Perhutanan


Konsep 3R - Kurangkan Penggunaan, Gunakan Semula Dan Kitar Semula
Kitar semula merupakan kaedah yang asas untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak tentang kepentingan mengekalkan keindahan alam sekitar. Kebanyakan kawasan dan pusat bandar di Malaysia mempunyai cara yang berbeza dalam menangani isu kitar semula. Kumpulkan jiran-jiran anda dan jadikanlah usaha kitar semula sebagai bukan aktiviti orang dewasa sahaja tetapi kanak-kanak juga. Malahan tanggung jawab kanak-kanak dalam hal ini harus dijadikan fokus utama.
Pusat mengumpul bahan-bahan yang boleh dikitar semula harus diwujudkan. Pusat sebegini harus memberi ganjaran kepada kanak-kanak. Contohnya, kupon diskaun membeli buku boleh diberi kepada mereka yang menyumbangkan bahan untuk dikitar semula. Pusat-pusat ini juga boleh memberi perkhidmatan tambahan yang membuka peluang kepada kanak-kanak untuk mengunjungi pusat-pusat ini. Ini supaya mereka boleh memahami dan melihatkan sendiri proses kitar semula yang membolehkan bahan yang disumbangkan digunakan semula. Dengan itu, mereka akan mengenali dan lebih menghargai sumbangan.

Kempen mengumpul dan kitar semula surat khabar mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelajar-pelajar sekolah dan pihak sekolah. Kini sudah tiba masanya untuk mengalihkan semangat dan kreativiti kanak-kanak dalam menambahkan usaha dan niat mereka daripada sudut kualiti dan bukannya kuantiti.

Pelajar-pelajar dari sekolah anda boleh membuat penyelidikan tentang proses kitar semula. Kemudian, izinkan mereka untuk mengutarakan dan membincangkan idea-idea berkenaan isu kitar semula. Benarkan mereka mengatur strategi bagi mempromosikan kempen mereka. Sementara itu, pihak sekolah harus menyediakan ganjaran kepada mereka yang berjaya membuahkan idea kitar semula yang paling berkesan. Anda juga boleh menganjurkan pertandingan yang memberi hadiah kepada mereka yang berjaya  menghasilkan program yang menpraktiskan kaedah guna semula bahan-bahan secara berkesan. Pertandingan hendaklah meliputi cadangan kaedah pengurangan penggunaan bahan-bahan yang memberi kesan yang musibah kepada alam sekitar.

Sebagai langkah menyedarkan masyarakat, galakan harus diberikan kepada kanak-kanak supaya mereka dapat mencadangkan strategi ekonomi dan politik untuk mengekalkan alam sekitar. Satu ‘persidangan parlimen’ yang dianggotai oleh kanak-kanak boleh diadakan bagi membolehkan pelajar-pelajar membentangkan cadangan mereka. Orang dewasa dari komuniti boleh menjadi pihak pembangkang dan mendengar cadangan yang diutarakan. Persidangan sebegini harus ditonton oleh masyarakat umum supaya mereka juga dapat mempelajari kesilapan mereka dalam fenomena menjejaskan kualiti alam sekitar.

Dipetik daripada buku Idea-Idea Untuk Tindakan Menjadikan Kawasan Bandaraya Mesra Kanak-Kanak Buku Sumber untuk Inisiatif Masyarakat dalam Bandaraya-bandaraya di Malaysia diterbitkan untuk Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (MKPW)

Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.


Peranan Pengguna Terhadap Alam Sekitar

by Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna

Pengguna boleh memelihara alam sekitar dengan mengambil langkah-langkah yang mudah di dalam menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka. Di sini ada beberapa panduan kepada pengguna untuk dijadikan sebagai amalan.
1.      Asingkan bahan-bahan buangan sebelum membuangnya. Beri sokongan terhadap Kempen Kitar Semula.
2.      Elakkan dari penggunaan racun perosak haiwan dan serangga yang mengandungi bahan kimia merbahaya.
3.      Buat baja kompos sendiri.
4.      Banyakkan penanaman pokok-pokok dan kurangkan penebangan pokok-pokok.
5.      Banyakkan makan makanan segar dan kurangkan memakan makanan yang diproses.
6.      Kurangkan meminum minuman dalam bungkusan.
7.      Kurangkan makanan daging yang diproses seperti burger. Kurangkan makanan daging. Lebihkan sayur-sayuran.
8.      Jangan menggunakan aerosol yang mengandungi klorofluorokarbon (CFCs).
9.      Kurangkan penggunaan plastik dan kertas.
10.  Bawa beg atau kereta sorong sendiri apabila membeli-belah. Minta pekedai memasukkan barangan yang anda beli di dalam beg anda, bukan dengan menggunakan beg plastik yang dibekalkan. Terangkan megapa anda berbuat demikian.
11.  Beli barang-barang yang tidak mencemarkan alam sekitar.
12.  Jangan beli barangan yang membahayakan kehidupan liar dan tumbuh-tumbuhan di bumi.
13.  Bantulah menyelamatkan hutan rimba anda.
14.  Cubalah penggunaan semula kertas di dalam pejabat. Atau guna kedua-dua mukasurat bagi kertas tersebut.
15.  Buat fotokopi di kertas-kertas yang tidak digunakan.
16.  Gunakan semula sampul surat terpakai untuk urusan dalam pejabat sendiri.
17.  Anjurkan kempen kebersihan di kawasan anda.
18.  Didik anak anda mengenai alam sekitar. Semai rasa kecintaan dan kesedaran terhadap alam sekitar kepada generasi muda.
19.  Berjalan kaki atau berbasikal sekiranya boleh.
20.  Gunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta.
21.  Kurangkan penggunaan penghawa dingin di rumah. Lebihkan tingkap di rumah atau pejabat. Biar cahaya matahari masuk.
22.  Padamkan lampu dan kipas sekiranya anda tidak menggunakannya.
23.  Jangan biarkan paip terbuka. Paip terbuka akan membazir 9 liter air seminit.
24.  Jangan bakar sampah sarap. Ini adalah salah di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 1978.
25.  Buang dengan sempurna bahan-bahan merbahaya. Hubungi Majlis-majlis Tempatan bagi mendapatkan pandangan.
26.  Jangan tumpahkan minyak, racun serangga, cat dan bahan-bahan toksik/beracun di dalam longkang atau sungai. Buangkan dengan sempurna.
27.  Jangan biarkan peti sejuk yang tidak digunakan di halaman rumah. Hubungi majlis atau peniaga bahan buangan untuk mengambilnya.
28.  Jangan gunakan kain lampin pakai buang (disposable napkins).
29.  Beli sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditanam secara organik.
30.  Gunakan peralatan elektrik yang dapat menjimatkan tenaga.
31.  Tubuhkan Jawatankuasa Alam Sekitar di kawasan anda.
32.  Sokong dan labur dalam aktiviti-aktiviti seperti program penggunaan semula dan berkebun. Penglibatan anda bermakna anda membantu sesuatu yang bermakna kepada komuniti, bumi, anak-anak dan masa depan.
33.  Anjurkan jualan lambak dan sokong kewujudkan kedai barangan terpakai.
34.  Beli barang dalam kuantiti yang besar.
35.  Jual surat khabar lama kepada pengutip.
Umat manusia bukan sahaja perlu memelihara alam sekitar atau persekitaran fizikal supaya dalam keadaan stabil dan hormati, tidak kurang penting juga bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia ialah memelihara keadaan yang harmoni, stabil dan saksama dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial. Kesemua ini memerlukan muafakat dan tindakan masyarakat tempatan dan antarabangsa yang berlandaskan kepada persefahaman akan saling bergantung di antara semua ahli masyarakat, serta perlunya berpegang kepada prinsip "menang-menang" dalam usaha pembangunan dalam segala aspek secara seimbang.
Sumber Dari : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna

Isu-Isu

iklan